Aku Bukanlah Yang Terbaik Untukmu

Titisan hujan mengepuk aksara gersang bumi
Melestarikan kepiluan sekeping hati yang pedih
Diri terasa goyah dipukul tamparan badai mehnah
Lembaran ujianMu Tuhan bertalu-talu mengkuak resah

Oh Tuhan, daku merindukan teman yang telah lama kaku menghadap Ilahi
Pemergiannya mempamit sejuta memori sayu dalam tirai hidupku
Tiada insan lain yang tulus menyayangiku selain dirinya
Andai ku mampu mengulas bicara dengannya inginku luah segala
Gelodak yang bersarang di kejernihan qalbu ini

Duhai teman yang masih di sisi,
Hadirmu pencetus variasi rasa di gerbang jiwa
Segala kepahitan yang dirasa kan ku telan jua
Walau diri terseksa merana saat bersamamu
Namun tetap ku gagahi dengan secangkir senyuman kesabaran
Agar dirimu sentiasa tenang ketika bersamaku

Berkalung budi yang telah ku pahatkan padamu
Tidak minta dibalas dengan intan dan permata
Cukup sekadar seuntai doa kudusmu buat diriku
Semusim kita bersua berkongsi potret lara ceria
Tidak pernah terlintas di benakku untuk menyakitimu
Sudah ku cuba menjaga rapi perilaku diri ini
Namun terselit jua duri noda yang tak ku sedari
Aku sedari aku bukanlah yang terbaik untukmu
Tetapi ku tetap cuba berusaha menongkah arus derita
Menawan sebuah singgahsana akhlak yang hakiki
Agar bisa ku kuasai sebuah peribadi yang terpuji

Teman, nasihatilah aku andai diri leka atau tersilap cara bicara
Bukan mencaci atau bertutur di belakang menambah nista
Ketahuilah daku ikhlas mendampingimu selama kita bersama
Sekalung kasih ku ucapkan kerana sudi menjadi temanku
Walau kau tahu aku insan lemah yang penuh dengan kekurangan
Aku juga hamba kerdil yang hanya layak mendamba redha Ilahi

Teman, andai kita tidak bersua lagi
Anggaplah aku pergi jauh bermuhasabah diri
Memperbaiki segala cela yang terselit di atma nurani
Kerana ku tahu aku bukanlah yang terbaik untukmu
Maaf dipohon andai diri ini tersemat berjuta khilaf

Sisipkanlah prasangkamu dengan kejujuran yang ku semaikan
Aku redha andai ini juraian suratan taqdirMu Tuhan
UjianMu membuatku mampu menilai adakah ini
Sebuah persahabatan yang hakiki ataupun sebaliknya.

Comments

Popular posts from this blog

CERPEN : CINTA BUKAN MILIK KITA (HARGAILAH AKU) BAHAGIAN II

CERPEN: CINTA BUKAN MILIK KITA

Wahai Pemilik Tulang Rusuk!